Jika lazimnya, jiran tetangga dan sahabat handai diraikan dalam rumah terbuka di rumah, namun kelmarin penduduk menganjurkan rumah terbuka berkonsep dalam taman bermula pukul 9 malam hingga lewat tengah malam.

Sempena majlis itu juga, penduduk bergotong-royong menyediakan pelbagai juadah dengan gerai-gerai diadakan di sekitar kawasan taman permainan berhampiran.

MASYARAKAT bukan Melayu turut bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri
MASYARAKAT bukan Melayu turut bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran penduduk Taman Desa Permai, Meru, Klang. - UTUSAN ONLINE

Menariknya, ada penduduk yang menikmati pelbagai juadah dengan bersila di atas tikar, mencetuskan suasana muhibah dan cukup mesra sesama mereka.

Penganjuran rumah terbuka berkenaan adalah penutup kepada siri baraan yang dianjurkan selama 10 malam, di bawah kelolaan Persatuan Penduduk Taman Desa Indah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan.

Menurut Pengerusi persatuan penduduk dan KRT Taman Desan Indah, Mohd. Mohimin Abdul Fatah, program baraan itu berjaya merapatkan hubungan silaturahim dan perpaduan antara penduduk berbilang kaum.

Beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk yang sanggup menjayakan acara tahunan itu dengan menganjurkannya secara individu atau pun berkelompok.

SEBAHAGIAN penduduk Taman Desa Permai, Meru, Klang bergambarSEBAHAGIAN penduduk Taman Desa Permai, Meru, Klang bergambar selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, kelmarin. - UTUSAN ONLINE

“Saya mohon kita akan meneruskan program ini kerana inilah tali pengikat silaturahim, menimbulkan kemesraan sesama kita.

“Program baraan merupakan cara kita hendak berjumpa penduduk kerana ada yang kita tidak kenal, bila datang program baru tahu dia ini duduk di mana dan sebagainya.

“ Program ini pasti menimbulkan kenangan manis yang akan disimpan sepanjang hayat, “ katanya berucap dalam majlis penutup acara itu.

Majlis penutup diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya, tayangan video perjalanan program sejak awal hingga akhir dan bunga api. - UTUSAN ONLINE