Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kehilangan Nora Anne Quoririn disedari abangnya kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pemilik resort.

Katanya, mereka kemudian berusaha mencari remaja tersebut di sekitar resort tetapi gagal menemukannya.

“Pemilik resort kemudian melaporkan kehilangan Nora Anne kepada polis.

“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemukan dan gerakan mencarinya diteruskan,” katanya di sini malam ini.

Menurutnya, keluarga dari Ireland itu yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak telah tiba untuk bercuti di resort berkenaan kira-kira pukul 7 pagi semalam.

Tambahnya, keluarga itu memberitahu, remaja perempuan itu mempunyai masalah lembam.

Mohd. Nor Marzukee berkata, misi pencarian mangsa dilakukan oleh tiga anggota polis dari Balai Polis Pantai, 10 anggota bomba dan tiga anggota dari unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Semua ketua polis daerah dan elemen polis di negeri ini telah dimaklumkan untuk membantu mengesan dan mencari mangsa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE