Radio tersebut dihantar oleh kakitangan Raja Muda Perlis, Mohd Hisamudin Mat Rodi,36,

kepada warga emas tersebut iaitu Halijah Ibrahim,78, Che Manai,73, dan Che Zainah,67, di Kampung Titi Besi pada pukul 5.30 petang ini.

Ternyata warga emas yang menjadi mangsa kebakaran semalam itu cukup ceria saat menerima radio berkenaan sekali gus menghilangkan kesunyian mereka.

Dalam masa sama, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda Perlis kerana mengurniakan radio tersebut.

Terdahulu, ketika berbual semasa kunjungan Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke rumah tersebut, salah seorang warga emas berkenaan, Halijah sempat meminta baginda menghantar radio kepada mereka.

Tuanku Syed Faizuddin yang tersenyum selepas mendengar permintaan tersebut seterusnya memberi jaminan akan menghantar segera radio di rumah warga emas tersebut sekali gus menghilangkan kesunyian mereka.

Halijah ketika ditemui selepas kunjungan itu berkata, dia dan adiknya selalu akan mendengar radio pada waktu malam bagi mengetahui perkembangan semasa.

“Dalam kebakaran semalam, radio kami turut musnah terbakar. Hendak tengok televisyen tidak nampak, kami hanya dengar radio,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan jeritan meminta tolong tiga beradik buta yang terperangkap di dalam kediaman mereka yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa warga emas itu dalam kejadian tersebut.

Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa segera membantu membawa keluar warga emas terbabit ketika api sedang marak dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.- UTUSAN ONLINE