Mohd. Zulkifli, 54, yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Kemboja selama 24 tahun kerana ketiadaan dokumen perjalanan, disambut oleh empat anggota keluarganya termasuk sepupu dan bapa saudaranya, Mustapah Ali di KKIA.

Sebaik sahaja keluar dari balai ketibaan, seorang demi seorang anggota keluarganya meluru ke arahnya lalu mendakapnya erat.

Dengan pelat bahasa Sabahnya yang masih pekat, dia berkata, selepas berjaya masuk semula ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand, dia tinggal di rumah rakannya di Alor Setar selama 40 hari.

“Dua puluh empat tahun bukan masa yang singkat. Saya pun tidak sangka (masih boleh balik Sabah), tetapi semua ini berlaku kerana Allah,” katanya yang ber­asal dari Tambisan, Lahad Datu di sini hari ini.

Mohd. Zulkifli pergi ke wilayah Koh Kong, Kemboja pada tahun 1993 bersama 14 yang lain selepas syarikat balak milik rakyat Malaysia mendapat tender membalak di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, pada tahun 1995, akibat pergolakan politik di Kemboja, syarikat balak ber­kenaan ditutup dan majikannya menghilangkan diri dengan membawa bersama dokumen perjalanannya.

Akibat ketiadaan dokumen perjalanan, dia terpaksa tinggal secara haram di Kemboja dan hidup berpindah-randah dari satu hutan ke hutan lain kerana takut ditangkap pihak berkuasa serta menyara kehidupan dengan mengambil upah membelah kayu.

Katanya pada tahun 2002, dia datang ke pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja bagi meminta bantuan untuk kembali, namun disebabkan proses itu begitu panjang dan kehabisan wang, hasratnya tergendala begitu sahaja.

Bagaimanapun, pada Mac le­pas, selepas menempuh perjalanan sejauh 1,400 kilometer dari Koh Kong dengan menaiki kereta dan motosikal sewa, akhirnya dia tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum menyelinap masuk ke Malaysia.

Mohd. Zulkifli berkata, dia belum mahu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu meluangkan masa bersama keluarganya dahulu.

Mengenai syarikat pembalakan yang membawanya bekerja di kem balak dekat Kemboja, dia berkata, syarikat berkenaan mungkin sudah tidak wujud lagi dan kebanyakan bekas majikannya ketika itu ramai yang sudah meninggal dunia dan baginya, yang paling penting dia selamat pulang ke Sabah.

Ditanya mengapa pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja tidak membantunya pulang ke Malaysia pada tahun 2002, Mohd. Zulkifli menjelaskan, kedutaan membe­ritahunya bahawa mereka tidak dapat menghubungi keluarganya.

Mohd. Zulkifli berkata, sekembalinya ke Malaysia, dia sudah berhubung dengan anak-anaknya dan akan balik ke kampung halaman di Pulau Tambisan esok untuk me­nemui mereka dan saudara-mara­nya yang lain di sana. – bernama

“Saya berterima kasih kepada Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail) atas pertolongan baginda. Setiausaha sulit baginda telah menolong saya dalam usaha memohon MyKad,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Zulkifli agak terkilan kerana pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan MyKad kepadanya walaupun semua dokumen berkaitan yang menunjukkan beliau adalah rakyat Malaysia dari Sabah sudah jelas.

Sementara itu, bapa saudaranya, Mustapah, 57, berkata beliau tidak menyangka akan bertemu lagi dengan anak saudaranya itu dan menyangka dia (Mohd. Zulkifli) mungkin sudah meninggal dunia selepas terputus hubungan selama 24 tahun.

Mustapah yang gembira menemui anak saudaranya itu berkata, berita terakhir yang diterima daripada Mohd. Zulkifli ialah pada tahun 1993 semasa anak saudaranya itu baru memulakan kerja di Kemboja dan selepas itu langsung tiada khabar berita.- BERNAMA