PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman (kiri) bersama salah seorang peserta
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman (kiri) bersama salah seorang peserta 

Kejayaan Haslinda itu hasil latihan selama enam bulan yang disediakan melalui Program Sentuhan Harapan-Planting Tomorrow yang dirintis Yayasan Petronas bagi membantu menambahkan pendapatan isi rumah golongan B40 dan ekonomi masyarakat setempat di Terengganu.

Dia merupakan kalangan 100 keluarga di daerah ini, khususnya kaum ibu daripada keluarga nelayan dan ibu tunggal yang berjaya mengubah kehidupan menerusi pendedahan dalam siri latihan berterusan yang merangkumi aspek kemahiran pengurusan kewangan, pemasaran produk, imej dan penampilan diri.

“Sebaik sahaja pulang dari salah satu sesi program saya berbincang dengan anak perempuan saya untuk menjenamakan semula produk kami iaitu kerepek megi kepada Keropok Megi Linda Homemade.

“Hasil daripada tunjuk ajar yang diterima, kami juga memperbaiki cara pembungkusan mengikut citarasa pengguna di samping menekankan aspek promosi secara intensif melalui media sosial, pemasangan kain rentang dan pengedaran kad perniagaan di kawasan sekitar,” katanya selepas majlis penutup Program Sentuhan Harapan-Planting Tomorrow di sini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri di sini semalam.

Yang hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman; Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah dan Pengarah Urusan Yayasan MyKasih, Evelyn Ho.

Sementara itu, Lita berkata, program Sentuhan Harapan-Planting Tomorrow merupakan salah satu komitmen Yayasan Petronas dalam menyokong usaha kerajaan negeri meningkatkan kualiti kehidupan dan taraf sosioekonomi masyarakat di Terengganu dan sejak dimulakan pada tahun lalu, seramai 400 keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut yang merangkumi program pembangunan keupayaan dan pemberian barangan keperluan asas.

“Program ini telah membantu kaum ibu dari keluarga nelayan serta ibu-ibu tunggal dari daerah Kuala Nerus untuk memperkasakan diri, menjanakan pendapatan tambahan sambil meningkatkan taraf kehidupan mereka. Sebagai seorang wanita, saya turut berbangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh semua peserta sepanjang penglibatan mereka dalam program ini.

“Saya berharap semangat dan motivasi anda akan terus membara demi budi dan bakti kepada keluarga serta masyarakat. Jika perniagaan anda masih belum berjaya, jangan berputus asa, kita cuba, dan cuba lagi,” katanya.

Menurut Lita, Petronas telah menyumbangkan sebanyak RM7 juta menerusi program Sentuhan Harapan-Planting Tomorrow yang telah dijalankan di beberapa negeri di Malaysia. - UTUSAN ONLINE