Norhaninawati Mohd. Yusof, Ahli Majlis MPP Zon 3 Majlis Daerah Kuala Langat mengambil inisiatif melaksanakan program 'Jom kacau dodol makanan warisan Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang 2019'.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor; Penyelaras DUN Sijangkang; MPP Zon 4 dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Panglima Garang.

Majlis yang berlangsung hari ini dari pukul 2 petang hingga 10 malam itu diadakan di Balai Penghulu Telok Panglima Garang, Selangor.

Seperti dijelaskan, Norhaninawati menganjurkan program tersebut supaya dodol yang merupakan makanan warisan masyarakat Melayu terus dikekalkan dengan memberi tunjuk ajar kepada generasi muda mengenai asal usul serta cara pembuatannya secara tradisional.

Lebih-lebih lagi apabila hari ini yang mahir membuat dodol terdiri dalam kalangan yang telah berusia dengan jarang sekali generasi muda mahir membuat makanan tradisi itu.

Sedangkan budaya makanan orang Melayu menjadi pilihan setiap kali musim perayaan dengan dodol merupakan manisan yang dicari-cari setiap kali tibanya sambutan Aidiladha mahupun Aidilfitri.

Norhaninawati memberitahu, tiada ramuan rahsia selain daripada gula merah, gula pasir, tepung pulut, santan, daun pandan dan garam dalam menghasilkan dodol.

Sebaliknya, jelas beliau, keaslian teknik dalam mengendalikan setiap proses pembuatan makanan itu menghasilkan juadah warisan yang lembut, malah tahan lama.

"Proses memasak sekurang-kurangnya lapan jam dan apabila diangkat ia kelihatan tidak ‘bertali’,  itu menandakan ia cukup masak.

"Sememangnya dodol adalah manisan unik dan rahsia  sebenar keenakan dodol itu terletak pada teknik tradisional yang dikekalkan untuk setiap peringkat dalam menghasilkan juadah sinonim dengan bangsa Melayu. Salah  satu teknik tradisional memasak dodol adalah dengan mengunakan kawah dan bara kayu api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhaninawati berharap program tersebut akan menjadi acara tahunan setiap kali tiba perayaan Hari Raya Aidiladha. - UTUSAN ONLINE