Perkampungan Orang Asli yang terlibat ialah Kampung Sungai Perah, Parit; Kampung Lawai, Sungai Siput; Kampung Sungai Pelawan, Sungai Manik dan Kampung Batu 14, Jalan Pahang, Tapah.

Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya berkata, pengedaran Jalur Gemilang di keempat-empat kampung tersebut adalah bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan penduduk Orang Asli.

Katanya, ia juga antara usaha pihaknya untuk berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air selain memupuk rasa penghargaan di atas jasa pejuang terdahulu yang telah banyak berkorban untuk negara.

"Kempen kibarkan Jalur Gemilang di empat buah kampung angkat Orang Asli ini berlangsung selama sebulan dengan melibatkan penyertaan daripada penduduk kampung serta warga kerja PPPNP.

"Pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen berlangsung akan diadakan termasuk pertandingan hiasan rumah tercantik, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mewarna, sukan rakyat dan menghiasi kampung dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Korporat Komersial PPPNP, Abd Ghani Ismail pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Kampung Angkat PPPNP di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Perah, Parit di sini hari ini.

Menurut beliau, inisiatif yang dilakukan PPPNP melalui penganjuran program seumpama itu selain menyahut seruan kerajaan, ia juga bagi menyerlahkan semangat dan perasaan cintakan negara dengan menghiasi kediaman dan kampung masing-masing dengan kibaran Jalur Gemilang.

"Selain itu, program tersebut juga dapat memupuk semangat perpaduan dan silaturahim antara warga kerja PPPNP dengan seluruh penduduk kampung Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Perah, Itam Yuna Kulop Jasin berkata, pemberian Jalur Gemilang oleh PPPNP itu amat bermakna kerana penduduk boleh menghias rumah mereka dengan bendera yang diberikan.

Malah katanya, sambutan pada kali ini juga dijangka lebih meriah apabila terdapat pelbagai aktiviti dirangka untuk disertai penduduk kampung.

"Sebelum ini, sambutan Bulan Kebangsaan hanya dirasai pada ambang kemerdekaan sahaja tetapi kali ini, kita bermula lebih awal. Saya sendiri tidak sabar untuk melihat rumah-rumah di kampung ini dihiasi Jalur Gemilang," katanya.-UTUSAN ONLINE