Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, ketiga-tiga bot terbabit membawa penumpang berkali-kali ganda iaitu antara 30 hingga 60 orang biarpun syarat lesen hanya membenarkan had 12 orang penumpang untuk satu perjalanan.

Lebih mengejutkan, salah sebuah bot layar yang ditahan itu tidak memiliki lesen operasi yang sah di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu, Deputi Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, tindakan diambil kerana pengusaha tidak menitikberatkan aspek keselamatan ke atas pelancong yang menaiki bot layar tersebut.

“Bot layar pertama ditahan kira-kira pukul 5.30 petang selepas didapati membawa 30 orang pelancong berbanding syarat lesen yang hanya membenarkan 12 orang sahaja diikuti bot kedua yang ditahan kira-kira 15 minit kemudian kerana membawa 35 pelancong.

“Tidak lama kemudian, anggota PPM menahan sebuah lagi bot persiaran yang membawa 60 orang pelancong selain tidak memiliki lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohizan berkata, ketiga-tiga bot persiaran itu didapati membawa pelancong warga China ketika operasi berkenaan dilakukan.

Tambah beliau, bot-bot yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Laut Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“PPM Wilayah Satu tidak akan bertolak ansur mengenai aspek keselamatan di laut dan akan terus mengadakan operasi demi keselamatan orang ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE