Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan kesahihan berita itu.

Beliau berkata, sehingga kini tiada saksi bebas yang mendakwa ternampak van putih yang dikatakan cuba menculik seorang murid sekolah itu di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan menjurus kepada lelaki yang dikatakan memeluk murid itu.

“Isu yang dikaitkan dengan cubaan culik dengan menggunakan van putih ini tidak wujud setakat ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Semalam tersebar berita di laman sosial mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh seorang guru penolong kanan membuat laporan polis mengenai dakwaan tiga murid tahun enam SK Chempaka yang nyaris diculik pada minggu lalu.

Berdasarkan laporan polis itu, guru tersebut tersebut telah dimaklumkan oleh rakan sejawatnya mengenai kejadian tersebut dan telah memaklumkan kepada ibu bapa murid terbabit bahawa ada cubaan untuk menculik pada Jumaat lalu.

Ibu bapa terbabit memaklumkan akan membuat laporan polis namun sehingga kelmarin mereka tidak berbuat sedemikian.

Namun kelmarin hanya dua daripada tiga murid terbabit datang ke sekolah. Seorang lagi dikatakan takut. Guru itu juga turut menanggil kedua-dua murid tersebut bertanyakan hal tersebut.

Salah seorang murid tersebut memberitahu bahawa ada satu lelaki Melayu yang tidak dikenali telah memegang dan memeluknya. Tiba-tiba dia ternampak sebuah van jenis Nissan Vanette warna putih sedang menghampirinya.

Murid itu kemudiannya mendakwa dia meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada pelukan lelaki tersebut. Dia berjaya melarikan diri masuk ke dalam sekolah bersaam dua rakannya. Bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas dalam laporan polis itu bila kejadian tersebut berlaku. -UTUSAN ONLINE