Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tindakan agresif itu bagi membantu Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam menguatkuasakan undang-undang sekali gus menangani masalah sampah di sini.

“Tindakan dikenakan terhadap individu yang membuang sampah itu bukan bertujuan menganiaya mereka sebaliknya sebagai langkah memberi kesedaran dan pengajaran.

“Saya rasa masyarakat akan lebih sedar dan kita lakukan ini untuk menegakkan undang-undang bukan mencari salah sesiapa tetapi untuk keselamatan dan kesejahteraan serta kebersihan daerah,” katanya ketika menyampaikan taklimat Op Payung Bersepadu di Tamu Ahad Sabindo di sini hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata, individu yang didapati membuang sampah akan diambil tindakan mengikut proses undang-undang yang ada.

“Bagi individu bersalah membuang sampah akan dikenakan kompaun serta perlu melakukan kerja amal mengikut tempoh masa yang akan diputuskan pihak berkuasa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, mengenai Op Payung Bersepadu yang dilancar hari ini, Peter berkata, operasi itu dilaksana bersama agensi penguatkuasa lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Imigresen yang turut menguatkuasakan undang-undang, masing-masing.

“Sebagai permulaan pelaksanaan Op Payung Bersepadu itu akan berada di kawasan Sabindo, dan pesisir pantai Traulsen, Tawau sebelum di perluas ke kawasan lain.

“Bagi yang membuang sampah, jika didapati akan dipaksa melakukan kerja amal mengutip sampah dengan memakai baju vest tertera nama ‘Kutu Sampah’, ‘Gorila atau ‘Kerja Amal’,” jelasnya lagi.- BERNAMA