Sebanyak 300 keping piza kayu api RM1 habis dijual dalam masa 15 minit di tiga cawangan Piza Anak Dol di sekitar negeri ini hari ini.

Pengusaha makanan itu, Nor Rosidah Osman, 31, berkata, harga promosi sempena Ramadan itu hanya melibatkan 100 keping piza saiz kecil di setiap cawangan.

“Kita jual piza ini di Kampung Bukit Dinding, Temerloh dan Bazar Ramadan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.

“Piza ini asalnya harga RM13 namun dijual dengan hanya RM1 pada hari ini sahaja bermula pukul 4.30 petang,” katanya di sini hari ini.

Nor Rosidah tidak menyangka jualan pada harga RM1 itu mendapat sambutan luar biasa sehingga ada yang datang dari jauh dan sanggup beratur awal untuk mendapatkan kupon promosi.

“Pelanggan hanya boleh membeli piza yang siap dibakar sahaja dengan harga RM1 tanpa boleh memilih menu lain bagi menjimatkan masa,” ujarnya.

Dia memberitahu, dua kedainya di Kampung Bukit Dinding dan Temerloh serta cawangan sementara di Jengka beroperasi pada pukul 3 petang hingga 7 petang setiap hari kecuali Isnin sempena bulan Ramadan. - UTUSAN ONLINE