Beliau berkata, kedua-dua peristiwa penting itu disambut sebagai menyatakan kesyukuran kepada Tuhan yang mengurniakan rezeki dan hasil menuai yang melimpah ruah serta perencanaan untuk musim yang seterusnya.

Tegasnya, dalam konteks negara yang terdiri daripada pelbagai budaya, saat inilah harus dimanfaatkan sebaiknya untuk saling mengenali antara satu sama lain.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan faham erti hidup rencam agama dan budaya seperti Malaysia, marilah kita sama-sama memikirkan bagaimana harus kerukunan ini dipelihara dan disuburkan dengan matlamat meneguhkan perpaduan dan hidup berdampingan.

“Makna besar disebalik diciptakan berbagai-bagai kaum dan suku itu adalah untuk mencari titik temu dan kebersamaan seperti yang ditegaskan dan diperingatkan dalam surah Al-Hujurat (ayat 10). Maka, segala elemen dan hujah yang menjurus kepada memecah belah, kejumudan dan ketaksuban wajar ditundukkan sesegera mungkin,” katanya seperti dipetik dalam Facebook rasminya di sini hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut merakamkan ucapan sambutan itu kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak yang meraikannya.

“Sempena Tadau Kaamatan dan Hari Gawai ini, saya mewakili keluarga majmuk PKR ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Kotobian Tadao Tagazo do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai’ kepada penduduk Sabah dan Sarawak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE