Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pada masa sama untuk selama sebulan bermula hari ini, pihaknya memberi kelonggaran kepada pemandu pengangkutan penumpang berkenaan untuk membuat caruman dengan Perkeso termasuk hadir ke pejabat pertubuhan itu untuk urusan selanjutnya.

Selain itu, jelasnya, mereka berkenaan juga boleh melayari laman web perkeso atau mendaftar mencarum di bawah skim tersebut dalam tempoh sebulan ini yang berakhir 31 Julai ini.

“Saya ingin maklumkan pada 1 Ogos, Perkeso akan mengkuatkuasakan undang-undang dengan mengeluarkan kompaun ke atas mana-mana pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang gagal mencarum di bawah skim ini.

“Bagaimanapun mulai 1 hingga 31 Julai ini kita telah beri kelonggaran kepada pemandu-pemandu ini agar mereka hadir ke Perkeso atau layari laman web Perkeso atau daftar mencarum,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Beliau memberitahu, pihaknya memberi tempoh sebulan bagi membolehkan para pemandu terbabit membuat caruman dan sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang dan dikampaun antara RM500 hingga RM4,000 mengikut jangka masa ditetapkan Perkeso.

Farihah menarik perhatian, setakat ini di seluruh Terenganu hanya terdapat 374 pemandu teksi yang mendaftar dan mencarum atau 60 peratus diikuti 70 pemandu grab baru daftar atau tak sampai 10 peratus manakala tiada seorang pun pemandu bas persendirian yang berbuat demikian.

“Sebenarnya skim ini diwujudkan untuk beri perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri. Namun kami beri mereka masa sebulan untuk hadir dan buat pendaftaran mencarum, jika gagal boleh dikenakan tindakan dan dikompaun RM500 hingga RM4,000,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE