Digerakkan oleh Pusat Komuniti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji dengan kerjasama Majlis

Bandaraya Ipoh (MBI), sesi pengundian itu akan berlangsung selama dua hari bermula 22 Jun ini di Dewan Orang Ramai Pasir Pinji dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Sebanyak 10,000 kertas undi bakal disediakan oleh MBI bagi membolehkan mana-mana individu berumur 18 tahun ke atas yang memegang kad pengenalan beralamat di Ipoh, layak mengundi dalam menentukan nasib pasar berusia lebih 60 tahun itu.

ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya membenarkan penduduk di luar Pasir Pinji untuk turut sama mengundi kerana mendakwa pasar berkenaan juga dikunjungi oleh pengguna dari seluruh bandar raya ini.

"Sumber kos penyelenggaraan Pasar Pasir Pinji adalah daripada wang cukai pintu rakyat Ipoh secara keseluruhannya. Oleh itu, referendum ini juga merupakan satu langkah untuk memastikan pengurusan yang berkesan dalam penggunaan kutipan duit cukai.

"Pembangunan semula Pasar Pasir Pinji merupakan projek awam pertama melibatkan keputusan orang ramai secara langsung. Saya ingin tegaskan bahawa kaedah referendum bagi menentukan nasib sesebuah aset awam ini adalah julung kalinya dipraktikkan di mana-mana pasar di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh di Pusat Komuniti ADUN Pasir Pinji di sini hari ini.

Menurut Howard, kerajaan bakal meluluskan sebanyak RM8 juta bagi pembangunan semula Pasar Pasir Pinji sekiranya ia diterima oleh rakyat selain satu peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bakal diusahakan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan penempatan sementara.

Selain itu, Howard mendakwa, pihaknya telah mengadakan lima sesi perbincangan awam dengan masyarakat setempat bagi mengenal pasti reka bentuk pasar baharu bagi memastikan ia mampu menampung keperluan komuniti.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, sebelum ini, projek-projek pembinaan semula pasar selalu mendapat bantahan daripada peniaga mahupun penduduk disebabkan oleh kekurangan maklumat serta rundingan dengan semua pihak berkepentingan.

Sehubungan itu katanya, sekiranya referendum itu berjaya, ia boleh menjadi contoh kepada pembangunan pasar-pasar awam lama khususnya di bandar raya ini bagi membolehkan pihak MBI mengambil lebih banyak pandangan daripada pihak terlibat. - UTUSAN ONLINE