Lebih menyukarkan apabila Mohd. Zaiad juga mengalami masalah buah pinggang dan jangkitan kuman dalam darah mengakibatkannya sukar bergerak.

Mujurlah anak sulung mereka, Muhammad Razmi Firdaus, 29, menjaga segala keperluan dan kebajikan kedua-dua orang tuanya itu di Perumahan Awam Labis di sini.

Namun Muhammad Razmi terpaksa melakukan pengorbanan yang besar apabila terpaksa berhenti kerja sebagai kelindan lori sejak tiga bulan lalu untuk mengurus keperluan ibu bapanya itu.

"Sebelum ini saya terpaksa meninggalkan ibu dan bapa saya berdua sahaja di rumah ketika saya keluar bekerja. Waktu itu ayah masih boleh bergerak dengan kerusi roda untuk menguruskan diri sendiri dan ibu saya.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas kedua ibu bapa saya tidak mampu menguruskan keperluan diri dan terpaksa dibantu sejak tiga bulan lalu," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Menurut anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, beberapa jari kaki bapanya juga terpaksa dipotong disebabkan jangkitan kuman beberapa bulan lalu.

Katanya, mereka tiga beranak ketika ini terpaksa bergantung dengan pendapatan pencen ilat ibunya sebanyak RM600 sebulan serta bantuan untuk bapanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 dan Baitumal RM300 setiap bulan.

"Jumlah yang diterima memang tidak mencukupi untuk menampung kos ubat-ubatan serta rawatan ayah dan ibu setiap bulan di Hospital Segamat yang mencecah RM700 sebulan.

"Selain itu mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan kerusi roda yang saya pinjam dari saudara untuk bergerak kerana saya tidak mampu untuk membelikan mereka kerusi roda," katanya.

Menurut Muhammad Razmi, dia tidak mengharap bantuan daripada dua adiknya yang tidak tinggal bersama-sama nenek mereka selain masing-masing masih bujang dan bekerja sebagai buruh sahaja.

"Dengan keadaan sekarang di mana saya tidak bekerja, kami tidak membuat sebarang persiapan menyambut kedatangan hari raya pada kali ini.

"Namun saya bersyukur masih dapat berkumpul sebagai satu keluarga pada pagi raya walaupun dalam keadaan serba kekurangan yang saya anggap sebagai satu ujian kepada kami," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mohd. Zaiad Awang bernombor 0112141000064667. - UTUSAN ONLINE