Begitu kesulitan yang dialami kira-kira 200 hingga 300 orang penduduk Kampung Baru Tapang di Kuala Nerang di sini, yang terpaksa berhadapan dengan jalan rosak di kampung itu sejak sekian lama akibat mendapan tanah.

Menurut penduduk, Mohd. Haniff Rosely, 43, jalan yang menghubungkan antara kampung itu dan Felda Lubuk Merbau digunakan penduduk untuk pelbagai urusan pada setiap hari.

Namun katanya, berikutan masalah itu, kini mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh iaitu di perkampungan orang Siam.

“Penduduk pula khususnya kanak-kanak dan wanita takut menggunakan laluan di kawasan penduduk orang Siam ini kerana sering diganggu anjing yang dibela komuniti itu. Tetapi kami tiada pilihan sehingga ada yang dikejar haiwan tersebut.

“Jalan yang rosak ini juga membahayakan kepada orang luar yang memasuki kampung, malah ada penunggang motosikal terhumban ke dalam lubang itu,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Haniff, pihaknya dan penduduk kampung ada membuat aduan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) baru-baru ini tetapi sehingga kini masalah itu masih berlarutan.

Justeru katanya, pihaknya meminta agensi yang berwajib supaya segera menyelesaikan masalah tersebut demi kesejahteraan penduduk kampung. - UTUSAN ONLINE