Kekangan kemiskinan menyebabkan pasangan tersebut bersama dua anak hidup melarat hari ini menerima sumbangan daripada netizen yang disalurkan melalui Kelab Volunteer I care (I Care) untuk diserahkan kepada mereka.

Pengerusi I Care, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, pihaknya hari ini menyerahkan barangan keperluan seperti makanan, lampin pakai buang dan susu untuk kegunaan keluarga tersebut.

"Setelah berbincang dengan keluarga pesakit, I Care akan menguruskan pengangkutan ambulans untuk pesakit bagi kemudahan temu janji dan rawatan susulan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) nanti.

"Semua sumbangan adalah hasil kutipan yang diperoleh dari orang ramai selama dua hari yang digunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarga tersebut, dekat sini, petang ini.

Yang turut hadir memberi sokongan moral ialah pelakon cilik drama bersiri Amar dan Opie di Tv3, Irfan Jawali, 12.

Semalam Utusan Online melaporkan kisah seorang isteri yang sarat mengandung lapan bulan terpaksa hidup melarat bersama dua lagi anak yang masih kecil selepas suaminya terlantar akibat terbabit dalam kemalangan kira-kira dua bulan lalu.

Muhammad Afiq berkata, ahli kelab I Care mengadakan sidang khas selepas membaca paparan berita itu sebelum tular keperluan bantuan kepada orang ramai.

"I care yang beroperasi di Selising, dekat sini, kita banyak membantu asnaf menerusi program agihan makanan percuma, ziarah pesakit kurang berkemampuan, ziarah asnaf sepanjang Ramadan Ramadan dan akan turut membantu program jom ke sekolah untui anak-anak asnaf di sekolah terpilih sekitar Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Muhammad Afiq berkata, dalam usaha meringankan bebanan keluarga Suhana Abdullah orang ramai masih boleh meneruskan sumbangan berkaitan menerusi I Care dengan menghubungi urusetia kelab menerusi Whatsapp. - UTUSAN ONLINE