Terbaru, persatuan itu menerusi Yayasan Pekema menyampaikan sumbangan kepada penghidap sakit kanser di negara ini.

Sumbangan berupa cek berjumlah RM100,000 itu disalurkan menerusi Tabung Kaseh Kanser yang diwujudkan oleh Yayasan Kanser Malaysia dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Cek sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang mewakili Timbalan Perdana Menteri pada majlis Malam Bingkisan Kaseh Kanser OKB di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat baru-baru ini.

Pekema merupakan antara penaja utama Tabung Kaseh Kanser tersebut.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Kumpulan Utusan merangkap Penaung POKB, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Presiden Yayasan Kanser Malaysia, Mohd. Royzilee Mustaffa.

Zainuddin memberitahu, Pekema terpanggil untuk memberi sumbangan kerana ingin membantu golongan yang sangat memerlukan seperti pesakit kanser.

Beliau berharap sumbangan yang disalurkan menerusi Tabung Kaseh Kanser itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban golongan yang menghidap penyakit tersebut.

“Sebagai sebuah persatuan dan yayasan, Pekema tampil untuk membantu dan menyokong Tabung Kaseh Kanser ini.

“Pekema bukan sahaja sebuah persatuan yang mahu membantu usahawan automotif dalam kalangan Melayu dan bumiputera, tetapi pada masa sama komited membantu kumpulan yang dalam kesusahan,” katanya