Timbalan Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, tafsiran kerugian akibat kebakaran pula mencecah RM3.3 bilion tahun lepas berbanding RM5.2 bilion pada 2017 manakala harta yang berjaya diselamatkan bomba ditaksirkan bernilai RM28.3 bilion tahun lepas berbanding RM51 bilion pada 2017.

“Statistik panggilan kebakaran seluruh negara itu menunjukkan peningkatan kadar bilangan kebakaran berlaku dengan sangat ketara yang memerlukan kita mengambil tindakan yang lebih proaktif termasuk langkah-langkah penguatkuasaan,” katanya berucap pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki dan Timbalan Pengarah JBPM Johor Pauzan Ahmad.

Soiman berkata, daripada jumlah panggilan kebakaran itu, sebanyak 4,928 panggilan direkodkan di negeri ini pada tahun lepas berbanding 3,610 tahun 2017.

Tambahnya, sepanjang tahun lepas juga, sebanyak 12,559 Notis Menghapus bahaya Kebakaran (Notis A) dikeluarkan di seluruh negara termasuk 224 notis daripadanya dikeluarkan di negeri ini dan ia bukan untuk mencari kesalahan premis terlibat.

“Notis itu dikeluarkan bertujuan memperbetulkan keperluan sistem pepasangan keselamatan kebakaran dan memastikan agar ianya dapat berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kebakaran.

“Suka saya nyatakan bahawa kebakaran selalunya berpunca dari kejahilan dan kelalaian manusia tentang aspek keselamatan kebakaran, Sehubungan itu, untuk selamat daripada kebakaran merupakan tanggungjawab kita bersama dan semestinya kita yang bertanggungjawa untuk mewujudkan situasi yang selamat dalam setiap aspek kehidupan harian kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE