Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Hizani Ibrahim berkata, mereka diberi pengawasan secukupnya termasuk disediakan makanan berzat mengikut jadual dan program kaunseling untuk lupakan tragedi itu.

Katanya, sejak PPS dibuka pada 18 Jun lalu, jumlah Orang Asli suku kaum Bateq yang ditempatkan di situ semakin meningkat setiap hari.

“Sehingga petang semalam seramai 91 Orang Asli suku Bateq masih ditempatkan di sini dan semakin

“Pada Isnin lalu seramai 78 Orang Asli, namun bertambah 13 orang lagi sehingga petang semalam serta dijangka meningkat lagi dalam masa terdekat ini.

“Bilangan Orang Asli yang ditempatkan membabitkan 27 keluarga termasuk masing-masing empat bayi lelaki dan empat bayi perempuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Hizani berkata, sejak PPS Etnobotani itu dibuka pelbagai kemudahan disediakan serta suasana selesa dan bersih.

Katanya, setakat ini penduduk masih tidak dibenarkan pulang walaupun keadaan kesihatan bertambah baik.

"Selain mengadakan aktiviti penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Kita juga turut mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bagi mengisi masa lapang mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE