Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman berkata, kebanyakan nelayan yang berusia dalam lingkungan umur berkenaan dikeluarkan daripada senarai penerima ESHN melalui proses pemutihan yang dijalankan.

“Sejak awal tahun ini, kita membuat pemutihan dan setakat ini kini kira-kira 33,800 nelayan sahaja yang layak menerima ESHN.

“Bagaimanapun, LKIM tetap memberi peluang kepada mereka untuk membuat rayuan dan perlu mengemukakan kepada pegawai LKIM agar siasatan dapat dijalankan.

“Sekiranya pegawai LKIM yang membuat pemantauan dan siasatan mendapati nelayan-nelayan dalam golongan umur tersebut masih ada kemampuan dan kekuatan untuk ke laut, mereka akan terus dapat elaun itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri LKIM negeri di Kuala Kedah, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamaludin berkata, alternatif yang diambil pihaknya untuk mengurangkan rantaian pemasaran ikan dan hasil laut lain berjaya mengurangkan harga sekitar 30 peratus.

“Selepas nelayan mendaratkan ikan, mereka ada orang tengah untuk mengangkut dan membungkus sebelum sampai kepada pemborong dan peruncit, jadi kita buat pelbagai program antaranya program Pusat Baharu Pertumbuhan Ekonomi (CEG).

“Program ini membolehkan hasil laut dibekalkan terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah dan pada masa yang sama ahli keluarga nelayan juga boleh terus menjual ikan kepada pengguna,” katanya. -UTUSAN ONLINE