Yang Dipertua MPK, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah berkata, langkah tersebut diambil bagi menghalang kegiatan promosi seumpama itu yang menyalahi peraturan tidak mempunyai lesen iklan dan permit kebenaran menggantung.

Malah, jelas beliau, iklan-iklan itu dilupuskan kerana penggantungannya tidak mengikut prosedur ditetapkan malah ada yang diiklankan di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya, operasi dua jam itu bermula pukul 9 malam yang disertai Bahagian Penguatkuasaan MPK dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar kawasan Kerteh.

“Operasi diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa MPK, Norhayati Abdul Rahman dibantu 10 orang anggota penguatkuasa MPK, empat orang anggota dari IPD Kemaman dan 25 orang ahli jawatankuasa MPKK.

“Antara MPKK yang terlibat ialah MPKK Telaga Papan, MPKK Gelugur, MPKK Taman Panalex, MPKK Taman Wan Adnan dan MPKK Kampung Tengah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Wan Mohd. Zaki menegaskan, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan tersebut di bawah Undang-undang Kecil Iklan MDK 1983 dan Undang-undang Kecil Vandalisme MDK 1990.

Sementara itu, Saiful Azmi turut mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah terpengaruh dengan iklan pinjaman daripada syarikat tidak berlesen bagi mengelak menjadi mangsa pengutip hutang.

“Memang betul mereka ini beri kelulusan segera berbanding institusi kewangan berlesen tetapi mereka kenakan kadar faedah tinggi sehingga tak mampu bayar balik.

“Semoga kita tidak terjebak dengan tawaran dan iklan yang pada awalnya semua baik belaka, namun akhirnya musibah besar atau petaka yang menanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE