Malah, Presidennya, Mohd. Syahbuddin Hashim, menyifatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 668 Pindaan 2019 di Dewan Rakyat sebagai tindakan terburu-buru.

Katanya, pembentangan RUU itu seperti ada agenda dan motif tersendiri tanpa memikirkan kepentingan dan hak persatuan-persatuan belia di negara ini.

“Kami yang menerajui badan induk persatuan belia berasa terkilan kerana keputusan membentangkan usul itu di Dewan Rakyat tanpa perbincangan terlebih dahulu.

“MAYC berpendapat, hal besar seperti ini tidak patut dibuat keputusan secara bersendirian,” katanya di sini hari ini.

Di Dewan Rakyat semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul untuk turunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Selain menurunkan had umur belia, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak lebih empat tahun atau bersamaan dua penggal.

Mohd. Syahbuddin juga mendakwa menteri terbabit bukanlah seorang berpengalaman dan arif dalam gerakan belia di negara ini.

Katanya, sebelum ini MAYC bersetuju dengan hasrat pelaksanaan had umur belia di bawah 35 tahun dan sudah pun mewujudkan program MAYChampion semata-mata menyediakan pemimpin pelapis.

“Kami menyatakan sokongan terhadap desakan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar perkara ini kembali dibawa ke meja rundingan.

“Kita anggap Menteri Belia dan Sukan melakukan kekhilafan dalam perkara ini dan berharap agar beliau dapat memikirkan semula keputusan itu demi menjaga kelestarian persatuan-persatuan belia di negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE