Dalam perkhemahan tiga hari yang diadakan di Pusat Kokurikulum Bukit Kolam Kuala Berang di Hulu Terengganu itu, kontinjen Setiu mengungguli enam kategori iaitu Kawad Kaki KRS lelaki (L) dan perempuan (P), Kawad Kaki TKRS (L dan P); Orienteering TKRS (P) dan Pandu Arah TKRS (P).

Ketua Jurulatih Kontinjen Setiu, Kapten KRS Muhamad Fadhil Daud berkata, kontinjen itu turut meraih tiga anugerah naib johan bagi acara Kraf Perkhemahan Puteri, Bantu Mula TKRS (P) dan Hafazan TKRS (L) menerusi Mohd. Amirul Amin Zaidi.

“Kejayaan berganda buat kontinjen apabila Muhammad Adiff Hafizi Zamzam dan Nur Ain Farisya Abdullah dipilih sebagai Ketua Platun Terbaik TKRS bagi kategori lelaki dan perempuan di samping peserta Terbaik TKRS perempuan menjadi milik Nur Asyirah Nadihah Azman.

“Ini adalah pencapaian yang begitu memberangsangkan untuk pasukan Setiu. Terima kasih kepada semua peserta, jurulatih dan guru yang terlibat dengan perkhemahan ini,” katanya di sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan kontinjen Setiu mewakili Terengganu ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Merlimau, Melaka pada 16 hingga 20 Jun ini. - UTUSAN ONLINE