Penasihatnya, Mohd. Azrul Mohd. Razak berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia berkata, NGO itu kini menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah pasar raya ternama untuk mendapatkan bekalan makanan bagi diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan di lokasi tertentu di sekitar Kedah.

GELANDANGAN

SUKARELAWAN Kindness Malaysia Kedah menyampaikan bantuan makanan kepada golongan memerlukan di sekitar Kedah. - UTUSAN ONLINE

"Pelaksanaan kami ketika ini lebih kepada mengumpulkan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti sumbangan pasar raya dan terus disalurkan kepada penerima kerana kami tiada fasiliti untuk menyimpanan makanan-makanan ini lebih lama.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan NGO di Pulau Pinang yang telah memulakan projek bank makanan ini sebelum diperluas ke negeri ini kerana banyak manfaatnya sekiranya program ini dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam wawancara dengan akhbar ini bertitah, masih ada rakyat di negeri ini yang berdepan masalah hasil pencarian tidak mencukupi untuk menyara keluarga termasuk tidak mampu membeli beras.

Baginda juga bertitah untuk melihat perubahan di negeri ini agar tiada lagi rakyat yang hidup dalam kesusahan terutamanya golongan pesawah, nelayan dan penoreh getah.

Sementara itu, Mohd. Azrul berkata, usaha dimainkan pihaknya itu bukan bermaksud untuk mengambil alih peranan pejabat zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya hanya sebagai pemudah cara kepada agensi itu dalam menyalurkan maklumat pihak memerlukan bantuan.

"Kita tak mahu orang salah anggap apabila kita turun padang ada pihak menyatakan agensi-agensi berkaitan tidak buat kerja tetapi perlu faham agensi kerajaan ada prosedur yang perlu dipatuhi dan mungkin mengambil masa.

"Justeru itu, Kindness Malaysia mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan segera terutamanya dalam bentuk makakan serta pada masa menghubungi pihak zakat dan JKM untuk melihat bantuan jangka panjang yang boleh diberikan mereka," katanya.

Tambahnya, dalam satu kes terbaharu di Pendang, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang terputus bekalan makanan setelah dua anaknya baru dibenarkan keluar daripada hospital.

"Dia seorang suri rumah dan suaminya juga hanya bekerja biasa serta kerap terpaksa bercuti kerana kesan kecederaan akibat kemalangan sebelum ini. Alhamdulillah tidak sampai beberapa jam kami maklumkan kepada pihak berkaitan, JKM dan zakat turun membantu keluarga itu," katanya. - UTUSAN ONLINE