Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silvertage Medan Gopeng, Mohd. Tarmizi Mohd. Yusoff berkata, kenyataan itu jelas bertentangan dengan surat kelulusan yang diterima pihaknya daripada kerajaan negeri untuk aktiviti bas ekspres di kawasan tersebut termasuk jualan tiket serta menaik dan menurunkan penumpang.

Katanya, surat kelulusan itu diterima melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Maju Perak Land Sdn. Bhd. pada 31 Julai lalu.

"Kami ingin tegaskan bahawa pembukaan kaunter jualan tiket serta aktiviti mengambil dan menurunkan penumpang sejak awal bulan lalu telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

"Malah, kerajaan negeri juga memberitahu bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tiada halangan untuk menjalankan aktiviti penjualan tiket serta mengambil dan menurunkan penumpang seperti mana surat yang dikeluarkan pada 6 Mei lalu," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Silveritage di sini semalam.

Menurut beliau, mesyuarat sebelum ini telah pun diadakan antara pihaknya bersama kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dan agensi berkaitan dengan semuanya menyatakan tiada halangan untuk aktiviti pengoperasian bas ekspres dijalankan di kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, kenyataan oleh Choo Kiong itu amat mengelirukan hingga menyebabkan terdapat anggapan bahawa pembukaan Terminal Bas Medan Gopeng adalah tidak sah.

"Selepas kenyataan tersebut keluar, banyak pengusaha bas yang takut masuk ke sini kerana bimbang didenda sedangkan pembukaan terminal ini setelah mendapat kebenaran kerajaan negeri.

"Kami bukan suka-suka buka, semuanya ada surat. Beliau sepatutnya merujuk perkara ini dengan kerajaan negeri sebelum mengeluarkan kenyataan," katanya.

Choo Kiong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru sebelum ini dalam kenyataannya menafikan yang Terminal Bas Medan Gopeng telah beroperasi semula seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Beliau berkata, bangunan yang menempatkan terminal itu tidak diwartakan sebagai terminal bas ekspres sebaliknya hanya untuk jualan tiket bas dan bukannya menaik dan menurunkan penumpang.-UTUSAN ONLINE