Seorang peniaga, Paul Durai, 65, berkata, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! mempunyai pembaca setianya tersendiri dan kenaikan harga sebanyak 50 sen itu bukanlah satu nilai yang membebankan.

"Harga naik pun, kita akan tetap jual Utusan sebab ramai orang yang masih baca akhbar ini. Setiap hari akhbar ini akan habis dijual dan jarang dipulangkan semula kepada pembekal.

"Apabila diberitahu yang harga akhbar ini akan dinaikkan sehingga RM2 dan RM1.50, bagi saya tiada masalah kerana orang masih akan membelinya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi pembantu sebuah stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Aida, dua akhbar Utusan Melayu terutama Utusan Malaysia sering menjadi pilihan pembeli berbanding akhbar lain.

Katanya, dia sendiri sering menerima soalan daripada pembeli tentang akhbar itu yang cepat habis walaupun datang pada waktu pagi.

"Akhbar Utusan Malaysia ini kalau hantar (di kedai) pada pukul 7 atau 8 pagi pun, sekejap sahaja habis. Sebab itu, jarang sangat ada baki sebab memang laris.

"Sebab itu bila diberitahu harga akan naik bermula esok, saya tidak bimbang sangat sebab memang akhbar ini ada pengikutnya sendiri," katanya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dalam taklimat khas di Dewan Besar Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur kelmarin memberitahu yang syarikat akhbar itu akan terus beroperasi dan meneruskan dua penerbitan akhbar di bawahnya seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan yang syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai esok. - UTUSAN ONLINE