Meskipun dalam kepayahan untuk bergerak, Zainuddin Abd. Rahman, 87, merasakan yang sesuatu perlu dilakukannya bagi membantu akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia itu agar terus 'hidup' sekali gus tidak ditutup ekoran masalah kewangan yang dihadapi.

Malah menurutnya, keinginan untuk menghulurkan sumbangan itu lebih kuat kerana berasa simpati dengan nasib pekerja yang terkesan dengan masalah dihadapi syarikat tersebut.

"Saya membaca akhbar Utusan (Malaysia) sejak kecil, sejak saya pandai membaca dan kini usia pun sudah 87 tahun. Apa yang berlaku kepada Utusan dan pekerjanya membuatkan saya simpati dengan mereka.

"Sebab itu, saya cari nombor telefon ibu pejabat Utusan di Kuala Lumpur untuk berikan sedikit sumbangan. Saya sedih dengan apa yang terjadi, walaupun sudah tua tetapi naluri kebangsaan saya cukup kuat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Lapangan Terbang di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, syarikat penerbitan Utusan Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad itu perlu terus berjuang dan tidak sesekali mengalah dengan cabaran semasa kerana di tangan akhbar itulah yang akan membina semula kekuatan orang Melayu.

Katanya, selain Utusan Malaysia, tiada lagi akhbar berbahasa Melayu yang teguh memperjuangkan nasib bangsa Melayu seperti mana yang dilakukan akhbar berkenaan sejak sekian lama.

"Utusan Melayu jangan takut, terus melawan dan berjuang. Bagi pekerja pula, jangan patah semangat sebaliknya terus bekerja untuk memajukan lagi orang Melayu.

"Kita kena ingat yang orang Melayu hanya ada Utusan sahaja dan jika kita sendiri tidak mahu menyokong mereka, siapa lagi yang mahu sokong.

"Orang Melayu mesti bantu Utusan Melayu, mereka mesti beli akhbar. Jika seorang keluar RM1, banyak yang boleh kita dapat jika berjuta orang yang membantu. Malah, mana-mana individu yang berjaya hasil jasa akhbar itu juga perlu bantu semula mereka," katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Zainuddin dan isterinya, Juhani Shaari, 80, menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM160 kepada wartawan.-UTUSAN ONLINE