Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, daripada 1,670 pendeposit dengan bilangan akaun sebanyak 1,803 itu, wang berjumlah RM2.41 juta dalam bentuk geran sepadan telah diberikan secara percuma kepada pemilik akaun.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang dicatatkan sehingga 31 Mac lalu itu adalah terlalu kecil berbanding peruntukan yang disediakan kerajaan sebanyak RM1 bilion.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion dalam bentuk geran sepadan semasa membentangkan Bajet 2003 pada tahun 2002 sebagai insentif khusus kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk membuat tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

"Menerusi insentif tersebut, ibu bapa berpendapatan bawah RM4,000 yang menyimpan di dalam SSPN-i dan anak mereka menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT), kerajaan akan beri secara percuma jumlah yang sepadan dengan simpanan mengikut tempoh simpanan dibuat.

"Bagaimanapun, daripada RM1 bilion yang diumumkan itu, hanya RM2.41 juta sahaja telah digunakan di mana kita masih ada kira-kira RM997 juta lagi yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jelajah SSPN 2019 peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Arena Rakyat Tualang Sekah di Malim Nawar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Menurut beliau, pihaknya menggalakkan ibu bapa tanpa mengira latar belakang untuk menggunakan peluang tersebut dengan membuat tabungan bagi membolehkan mereka menikmati lebih banyak faedah.

Katanya, tiada tempoh masa ditetapkan bagi mendapatkan geran sepadan itu sebaliknya ia boleh digunakan sehingga habis peruntukan sebanyak RM1 bilion itu.

"Masih ramai yang tidak mengetahui tentang insentif ini dan antara faktor ia tidak mendapat sambutan adalah kerana kurangnya promosi dilakukan.

"Oleh itu, selain melipatgandakan promosi menerusi hebahan dan penyampaian maklumat melalui program Jelajah SSPN di seluruh negara, kita juga akan mencari kaedah lain termasuk bekerjasama dengan syarikat swasta dan awam serta kerajaan negeri," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu SSPN dibuka pada tahun ini.

"Sejak diperkenalkan sehingga 30 Jun lalu, lebih 4.1 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit keseluruhan sebanyak RM4.9 bilion di mana bagi negeri Perak, sebanyak RM349,977 akaun telah dibuka dengan deposit berjumlah RM241.7 juta," katanya.

Pada program Jelajah SSPN 2019 di Perak, PTPTN telah memberi sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 960 anak-anak asnaf melibatkan 24 kawasan Parlimen seluruh negeri melalui peruntukan wakalah zakat berjumlah RM96,000.

Selain itu, Keong Siong turut memberi sumbangan sebanyak RM5,000 yang memberi manfaat kepada 250 orang penerima daripada Parlimen Kampar di mana setiap seorang menerima sumbangan sebanyak RM20 simpanan SSPN-i.-UTUSAN ONLINE