Serangan jangkitan kulat ini terutama di kawasan-kawasan yang agak ‘sesak’ dan banyak tumbuhan menyumbang kepada lebih banyak faktor permasalahan sedia ada yang menjejaskan lagi kadar keberhasilan penetasan telur penyu.

Penularan mikrofungi ini yang membimbangkan telah mendapat perhatian para penyelidik termasuk kumpulan Center for Biodiversity and Conservation (CBC), American Museum of Natural History, New York.

Sehubungan itu, Dr. Siti Nordahliawate Mohamed Sidique dari Universiti Malaysia Terengganu UMT) telah dijemput untuk membentangkan projek penyelidikannya di CBC pada 9 Ogos lalu untuk bersama mencari langkah menangani ancaman itu.

“Saya membentangkan isu mikoflora di kawasan persarangan penyu hijau (Chelonia Mydas). Projek penyelidikan ini kami laksanakan sejak tahun 2009 bersama Sea Turtle Research Unit (SEATRU) di Santuari Penyu Cagar Hutang, Pulau Redang di samping mengutip sampel daripada pelbagai kawasan di negara ini,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada kemunculan patogen daripada tumbuhan yang berevolusi dan menjangkiti haiwan terutamanya kategori yang diancam kepupusan seperti penyu.

“Maklumat jangkitan kulat di kawasan persarangan penyu dan kesannya pada telur-telur serta pemuliharaan akan dikongsi dengan The Network of Conservation Educators and Practitioners (NCEP) yang merupakan pusat pengumpulan sumber pelbagai info biodiversiti dan pemuliharaan di muzium tersebut.

Menurut beliau, Pengarah CBC, Dr. Ana Luz Porzecanski turut menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dalam waktu terdekat manakala Ketua Kumpulan Saintis Pemuliharaan, Dr. Eleanor J. Sterling merancang untuk melaksanakan lawatan penyelidikan tahun depan untuk melihat dengan lebih dekat situasi jangkitan kulat ini.

“Kumpulan kami telah menjalankan aktiviti persampelan ke seluruh kawasan persarangan penyu di Semenanjung pada bulan Julai dan didapati simptom jangkitan kulat yang sama walaupun berbeza spesies penyu (hijau atau agar dan karah),” ujar beliau.

Tambah beliau, status kulat Fusarium Solani Species Complex (FSSC) yang menjangkiti telur penyu telah dilaporkan di Jurnal Malaysian Applied Biology sebagai rekod pertama di Malaysia untuk rujukan. - UTUSAN ONLINE