Pengerusi Biro Agama JMMNJ, Mohamad Rafi Abd. Rahman berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Seri Alam pada pukul 12.23 tengah malam tadi.

Katanya, fitnah yang tular itu berniat jahat terhadap JMMNJ yang dipercayai dibuat oleh beberapa individu bagi mencetuskan provokasi dan mencetuskan kemarahan kaum terhadap JMMNJ.

“Kami menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa JMMNJ dan biro agama tidak terlibat langsung dengan urusan dalaman Madrasah Nibrasul Islam. Ini merupakan urusan pengurusan dalaman dan tiada keperluan untuk kami terlibat dalam urusan pentadbiran madrasah tersebut.

“Urusan pendaftaran ini merupakan tanggungjawab pengerusi madrasah dan bukan di bawah bidang kuasa biro agama JMMNJ. Sekiranya terdapat madrasah yang tidak didaftarkan atas sebab tidak menepati syarat dan peraturan ditetapkan, itu merupakan tanggungjawab pengerusi madrasah itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam tular dakwaan palsu menerusi aplikasi WhatsApp tentang isu perobohan sebuah madrasah di Ulu Tiram yang dikaitkan dengan penglibatan JMMNJ. -UTUSAN ONLINE