Bermula bulan ini, satu kelainan diambil iaitu dengan penglibatan imam di seluruh negeri ini untuk sama-sama merangka strategi bagi menangani isu terbabit dengan penubuhan satu kerjasama jawatankuasa Badan Bertindak Antidadah Negeri Kelantan (BERTINDAK) pada 9 Mac lalu.

Jawatankuasa itu diwujudkan hasil kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Kelantan; Majlis Amal Islamiah Malaysia (MAIM); Majlis Agama Dan Istiadat Negeri Kelantan(MAIK) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, Aman Mustapha berkata, program ini bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada golongan imam bagi bersama-sama membanteras dadah yang menjadi ancaman utama masyarakat masa kini.

“Kita harap dengan penglibatan imam ini mampu memberi pendekatan baru yang sesuai kepada golongan ini khususnya dalam aspek islamiah.

“Antara aktiviti yang dicadangkan adalah dengan pendekatan imam dari rumah ke rumah orang kena pengawasan(OKP) supaya menyampaikan ceramah mahupun majlis tahlil dan bacaan yasin untuk membantu penagih sedar dan pulih dari gejala itu.

“Pihak kami sendiri akan mengenal pasti OKP yang ada, dan maklumat akan disalurkan kepada imam di kawasan yang terlibat supaya imam dan ahli jawatankusa masjid akan melaksanakan program mereka kepada anak mukim masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Bengkel Peranan Imam Dalam Melahirkan Kariah Aman dan Bebas Dari Gejala Dadah di Masjid Mahmoodi,Bachok, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Imam Besar MAIK, Muhammad Hana Pizi Abdullah dan Pengerusi MAIM, Mohamad Hamzah.

Dalam pada itu, Aman berkata,langkah itu diambil kerana sehingga Februari lalu,seramai 8,515 jumlah penagih dibawah AADK direkodkan dan jumlah penagih berulang mencatatkan peningkatan kepada 6107 orang manakala 2318 penagih baharu.

“Kita percaya perkara ini berulang kerana kurangnya ilmu agama dalam diri mereka,jadi dengan pelaksanaan jawatankuasa ini diharap mampu membawa kesan positif kepada mereka, “ ujarnya.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya berharap semua imam di 600 buah masjid di seluruh negeri ini akan memainkan peranan masinh-masing supaya gejala ini dapat diatasi. - UTUSAN ONLINE