Menurut pemilik nama Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, usaha murni itu bertujuan untuk memastikan kesemua gadis yang terbabit mendapat pembelaan sewajarnya sepanjang tempoh kehamilan kerana rata-rata mereka disisihkan oleh keluarga sendiri.

“Saya dah tak sanggup lagi nak mendengar cerita buang bayi di surat khabar dan televisyen.

“Untuk itu, saya gerakkan sendiri usaha ini dengan mencari gadis-gadis malang dan memberi pelindungan kepada mereka.

“Setiap seorang daripada mereka mempunyai penjaga sendiri. Segala kos rawatan klinik, makan minum hinggalah mereka melahirkan di hospital, saya tanggung semuanya dengan menggunakan duit simpanan sendiri.

“Tak mengapalah berbelanja besar sikit untuk kebaikan bersama. Ini adalah jihad saya. Semoga usaha yang dibuat ini sedikit sebanyak dapat membendung kejadian buang bayi berulang pada masa depan,” katanya kepada Utusan Online.

Mempunyai lima gadis malang yang berada dalam jagaannya kini, Naib Presiden Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ini mengakui kerap mendapat mesej daripada gadis yang mengalami nasib sebegitu dalam laman sosial.

Tidak pernah menilai kelakuan mereka, Iesya juga sering berkomunikasi dengan mereka sebagai satu bentuk sokongan kepada mereka agar tidak tersisih dalam masyarakat.

Dia juga berharap agar mereka mengambil pengajaran atas apa yang terjadi.

Kes membuang bayi yang terjadi sejak kebelakangan ini amat membimbangkan turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menasihatkan agar remaja perempuan yang terlanjur dan hamil luar nikah membuang rasa takut untuk mendapatkan bantuan.- UTUSAN ONLINE