Namun, Nurul Ain Zakaria, 33, tidak pernah berputus asa untuk melihat anak-anaknya sihat dan menjalani kehidupan sempurna walaupun dua daripada tiga anaknya tidak normal.

Dia yang merupakan seorang ibu tunggal tidak dapat bekerja bagi menjaga anak-anaknya dan hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,000 sebulan.

Menurutnya, jumlah berkenaan bagaimanapun tidak dapat menampung kehidupan mereka sekeluarga kerana perlu menampung kos perubatan dua anak serta kos persekolahan.

"Anak sulung saya, Nur Adriana Aqilah Mohamad Fairuz yang berusia 10 tahun mengalami masalah saraf yang turut mengganggu ingatannya.

"Sementara anak ketiga saya, Nur Aurora Darmaya yang berusia lima bulan mengalami masalah kegagalan pernafasan selain penyakit kekejangan otot sejak dilahirkan," katanya ketika ditemui di kediamannya, di Taman Air Biru, di sini sebentar tadi.

Ibu tunggal tabah jaga 2 anak tidak normal

Nur Aurora Darmaya yang berusia lima bulan mengalami masalah kegagalan pernafasan selain penyakit kekejangan otot sejak dilahirkan. - UTUSAN ONLINE

Selain Nur Adriana Aqilah dan Nur Aurora Darmaya, Nurul Ain turut memiliki seorang lagi lagi anak iaitu Mohamad Izz Darwisy yang kini berusia 8 tahun.

Jelas Nurul Ain lagi, perbelanjaan bulanannya banyak dihabiskan untuk perubatan kedua-dua anaknya yang kurang sihat.

"Perbelanjaan bagi Aurora adalah untuk minumannya iaitu susu khas, selain kos lampin pakai buang dan pengangkutan untuk ke hospital kerana saya tidak memiliki kenderaan.

"Bagi Adriana pula, perbelanjaannya adalah membabitkan ubat yang perlu diambil untuk mengawal emosinya yang sering terganggu khususnya ketika tertekan, contohnya apabila berada di tempat ramai orang," ujarnya.

Prihatin dengan dugaan dihadapi ibu tunggal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh hadir bagi menyampaikan sumbangan dan akan membantu mengurangkan beban bagi perbelanjaan perubatan dan persekolahan anaknya.

Pihak yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank bernombor 6818759121 milik Nurul Ain atau hubungi talian 012-2776670. - UTUSAN ONLINE