Wan Rozdiani Che Wan Hamzah, 44, berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, anaknya, Mohd. Zikrullah Syah Azzril @ Rusli. 15, bertindak keluar dari asrama Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Kodim) di Kampung Tok Has itu selepas menunaikan solat Subuh.

Katanya, Mohd. Zikrullah Syah Azzril dipercayai keluar bersama seorang rakan yang dikenali sebagai Azwan, iaitu seorang pelajar yatim piatu yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Tok Sabah di Kuala Besut.

“Kali terakhir anak saya pulang ke rumah di Kampung Bukit Peraksi di Pasir Puteh, Kelantan bersama ahli keluarga adalah pada 4 Julai lalu.

“Dia tidak membawa kad pengenalan dan memiliki wang di tangan kira-kira RM15 sahaja,” katanya di sini hari ini.

Kisah kehilangan Mohd. Zikrullah Syah Azzril telah dimaklumkan kepada bapanya, Rusli Yaakob, 45, yang kini berada di Australia kerana bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan laporan kehilangan telah dibuat oleh pihak pengurusan Kodim, semalam. -UTUSAN ONLINE