Pengarah Urusan HP Inc. Malaysia, Fayza Mohamed Amin berkata, program itu dilancarkan dengan kerjasama Tealive bagi memberi peluang kepada pelajar universiti berumur 17 hingga 25 tahun untuk mengemukakan idea perniagaan mereka kepada beliau dan pengasas Tealive, Bryan Loo,

Menurutnya, program tersebut diadakan dengan hasrat untuk membantu golongan belia mencapai impian mereka memulakan perniagaan sendiri.

“Idea yang terpilih akan memenangi modal permulaan sebanyak RM10,000 dan bimbingan mentor selama tiga bulan bersama HP Inc. dan Tealive Malaysia.

“‘Creators of Tomorrow University Challenge’ bertujuan menyokong masa depan belia Malaysia dan memberi peluang kepada mereka mempamerkan idea perniagaan yang mungkin dapat mengubah landskap pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai cabaran itu Fayza berkata, pada peringkat pertama peserta perlu melayari laman web https://www.hpmalaysia.com/creatorsoftomorrow dan menceritakan idea perniagaan tidak lebih 300 perkataan sebelum 30 September ini dan peserta bebas menghantar seberapa banyak idea yang diingini.

“Bagi peringkat kedua HP dan Tealive akan memilih 10 idea perniagaan. Peserta yang terpilih akan dihubungi antara 14 hingga 20 Oktober ini dan setiap pasukan atau peserta dikehendaki membuat pembentangan perniagaan selama 30 minit di hadapan wakil syarikat kami,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE