KPP yang dianjurkan sempena Program Keselamatan Balik Kampung Yamaha ke-20 itu, mendapat kerjasama Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, program tersebut dilihat sebagai antara usaha baik untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal.

Justeru, kata beliau, kerajaan amat menyokong inisiatif Hong Leong Yamaha Motor yang menganjurkan program advokasi pendidikan jangka masa panjang itu.

Kata beliau, HLYM bersama dengan MMSDA telah menetapkan contoh terbaik dan boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi syarikat pengeluar lain untuk menganjurkan program sedemikian.

"Jika semua pengeluar dan penjual kenderaan tampil memperkenalkan program keselamatan seperti ini secara aktif, industri ini secara keseluruhan akan mendapat manfaat.

"Bayangkan sekurang-kurangnya setengah juta penunggang motosikal baru setiap tahun akan menerima penerangan keselamatan menunggang dan terlibat dalam program kesedaran keselamatan jalan raya seperti ini," katanya ketika berucap di Program KPP, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Anthony iaitu Datuk Mohamad Dahlan Md Maamor.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor dan Pengerusi MMSDA, Wee Hong. - UTUSAN ONLINE