Tahun lalu perumahan balai polis ini mewakili Zon Timur ke pertandingan peringkat kebangsaan hasil pemuafakatan dan kerjasama erat di antara anggota dengan komuniti setempat yang merangka pelbagai program seperti aktiviti gotong royong untuk menceriakan kawasan perumahan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Telaga Papan, Zakinor Musa berkata, pihaknya turut membantu dengan bergotong-royong untuk menceriakan lagi persekitaran perumahan balai polis berkenaan.

Menurutnya, gotong-royong turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat setempat sama ada Melayu, Cina dan Siam melambangkan kerjasama yang erat.

“Dalam konteks, bersatu teguh bercerai roboh di pihak masyarakat dan semangat sedia berkhidmat dengan mesra pelanggan akan lebih memantapkan hubungan dua hala di antara anggota polis dan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong polis bersama komuniti, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Balai Polis Cherang Ruku, Sarjan Mejar Mat Sood Mat Piah.

Turut bersama menjayakan program gotong-royong itu ialah anggota pasukan bomba dan penyelamat Pasir Puteh dan anggota polis balai yang berdekatan.

Zakinor berkata, komuniti setempat sentiasa bersedia membantu menjayakan pelbagai program bagi memastikan balai polis itu muncul juara bukan hanya untuk peringkat zon Timur tetapi juga juara peringkat kebangsaan. - UTUSAN ONLINE