Kehidupan mereka bahagia di samping keluarga tercinta di Kampung Pauh Setia di sini, namun yang menjadi masalah kepada tiga beradik itu apabila sehingga kini mereka masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri termasuk taraf warganegara yang masih belum ditentukan.

Berikutan itu, mereka terpaksa menempuh pelbagai kekangan seperti sukar melanjutkan pelajaran, memohon pekerjaan dan banyak lagi halangan berikutan masalah berkenaan.

Difahamkan tiga beradik itu tidak mempunyai kad pengenalan atau MyKad apabila pasangan suami isteri, Ng Boon Heng, 55 dan Saithong Kaewphukieo, 47, lambat mendaftar perkahwinan meskipun sudah mendapat anak pada masa itu.

Tiga beradik itu kini hanya mempunyai sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Boon Heng berkata, dia sudah banyak kali berusaha termasuk membuat permohonan baharu namun setiap kali itu jawapan yang diterima daripada pihak bertanggungjawab adalah amat mendukacitakan.

“Tiga orang anak saya semua tidak ada kad pengenalan. Sudah lama kami buat permohonan sehingga kini masih tidak boleh. Mereka ada surat beranak, buku merah ada, semua cukup tetapi tidak boleh buat kad pengenalan.

"Ketiga-tiga anak saya tetap dihantar ke sekolah, namun terpaksa membayar yuran yang mahal, selain tidak mendapat bantuan buku teks mahupun biasiswa seperti pelajar lain.

"Anak sulung saya pula gagal menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi (IPT) disebabkan alasan tiada dokumen pengenalan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah Boog Heng, dia pernah ditipu sebanyak RM55,000 dua tahun lalu oleh seorang individu yang menjanjikan kelulusan untuk dokumen pengenalan diri anaknya.

Ketika itu katanya, dia berusaha mencari duit sebanyak itu kerana percaya individu terbabit benar-benar dapat membantunya keluar daripada kemelut yang dihadapinya.

"Saya amat berharap agar ketiga-tiga anak saya segera mendapat kerakyatan dan diberikan dokumen pengenalan diri yang sah. Saya juga merayu, agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan rasmi yang sehingga kini masih dalam proses," katanya.- UTUSAN ONLINE