Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kebenaran itu boleh diberikan sekiranya ia mampu melancarkan aliran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya terjamin.

"Tidak ada masalah. Kalau harus buka (lorong kecemasan) untuk memudahkan laluan maka kita akan buka.

"Tetapi polis akan melakukan kawalan supaya tindakan itu dapat melancarkan aliran trafik yang sesak," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 14 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permohonan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) supaya polis memberi kebenaran kepada pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan itu membuka beberapa lokasi kritikal di lebuh raya berkenaan bagi membantu melancarkan perjalanan orang ramai sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pengerusi syarikat itu, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berkata, laluan yang telah dikenal pasti ialah Kilometer (KM) 287 hingga KM 289 antara Simpang Pulai ke Gopeng, Perak dan KM 367 (arah utara) dari Slim River ke Sungkai, Perak.

"Kami percaya, pembukaan lorong kecemasan kepada pemandu dapat memberi lebih manfaat dan kelegaan kepada pelanggan kami ketika bergerak pada musim perayaan ini," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran itu.

Noor Rashid berkata, cadangan untuk membenarkan lorong kecemasan di lebuh raya digunakan ketika trafik sesak telah dikaji secara teliti oleh semua pihak yang berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail memberitahu, pihaknya menjangka kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya berkenaan pada waktu puncak setiap hari sempena perayaan tersebut.

"Jumlah ini meningkat sebanyak 19 peratus berbanding kira-kira 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan itu tahun lalu," ujarnya.

Katanya, aliran trafik dijangka meningkat mulai 31 Januari ini hingga 10 Februari depan. - UTUSAN ONLINE