Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, tanah-tanah terbiar yang dianggarkan lebih 100,000 hektar itu boleh memberi nilai tambah kepada para petani sekiranya ia diusahakan untuk tanaman kontan.

Menurutnya, jumlah keluasan tanah bagi kawasan Semenanjung tersebut diperoleh pihaknya berdasarkan laporan daripada Bahagian Perancangan Strategi Jabatan Pertanian.

“Petani MADA bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyeru pesawah meningkatkan pendapatan mereka, tetapi kawasan sawah tidak sesuai kerana ia adalah tradisi kepada penanaman padi.

“Oleh itu, kita cadangkan kerajaan bangunkan tanah-tanah terbiar dan usahakan secara bersama-sama dengan pesawah sebagai sumber pendapatan tambahan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir baru-baru ini yang melaporkan kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi termasuk mencadangkan mereka mengusahakan tanaman kontan.

Perdana Menteri turut berkata, beberapa perkara dikenal pasti menyebabkan pesawah masih berada dalam garis kemiskinan seperti mempunyai sawah yang terlalu kecil dan tidak efisien.

Sementara itu, Che Ani berkata, dasar keselamatan makanan negara perlu diperkukuhkan dan mencontohi negara-negara maju yang memperuntukkan bajet yang tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Dasar kerajaan perlu dilihat dan dikaji semula kerana peranan kerajaan lebih besar dan luas, malah kerajaan juga perlu mengekalkan subsidi berjumlah RM1.8 bilion kepada para pesawah bagi menjamin kelangsungan sektor itu.

“Malah, agensi-agensi berkaitan dengan industri padi perlu sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi pesawah seperti padi angin, benih tidak bermutu, sistem pemotongan berat padi yang tidak telus dan ancaman makhluk perosak,” ujarnya.

Tambah beliau, kegagalan menyelesaikan masalah tersebut akan menyebabkan pesawah boleh kehilangan sumber pendapatan selain gagal meningkatkan hasil 10 tan metrik sehektar seperti mana dimahukan oleh pihak MADA.

“Kerajaan juga gagal menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor tanaman padi kerana pendapatan rendah. Sekiranya mereka berjaya menyelesaikan masalah ini, saya percaya pendapatan pesawah akan meningkat,” katanya. - UTUSAN ONLINE