Wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kebersihan (JPKK) negeri, Wan Zamzahidi Wan Zahid berkata, mereka membuat aduan dengan jabatan berkenaan antara lain bagi mendapat pampasan memandangkan ada dalam kalangan mereka sudah bekerja lebih 20 tahun.

“Tindakan berkenaan juga sebagai usaha supaya diambil kembali bekerja.

“Pada masa sama, kami mahu membawa perkara ini ke pihak berkenaan iaitu Kementerian Pendidikan kerana kontrak di bawahnya,” katanya di sini hari ini.

Isu melibatkan pekerja pembersihan kontrak di sekolah mula timbul pada Januari lalu apabila JPKK menuntut Kementerian Pendidikan membela nasib pekerja di hampir 10,000 buah sekolah seluruh negara yang ditamatkan kontrak.

Koordinator JPKK, R. Mohanarani dilaporkan berkata, kesemua pekerja itu diberhentikan kerja tanpa notis selepas kontraktor baharu yang dilantik Kementerian Pendidikan mengambil alih.

Isu berkenaan kembali hangat apabila Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) hujung Mei lalu mendakwa, kira-kira 45,000 pekerja sektor itu bakal kehilangan pekerjaan susulan format tender baharu dilaksanakan Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan dilapor memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM3 bilion bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak melibatkan bangunan dan kawasan sekolah seluruh negara.

Menurut Wan Zamzahidi, bermula 1 Jun lepas, sebilangan pekerja kontrak pembersihan di sekolah-sekolah kehilangan pekerjaan dengan bermulanya kontrak baharu.

Mengikut kontrak baharu berkenaan, katanya, pengiraan bilangan pekerja hanya kira-kira separuh daripada jumlah pekerja diperlukan.

“Difahamkan di Pahang sahaja, sekitar 6,000 pekerja kontrak pembersihan sekolah kehilangan kerja disebabkan perkara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE