Azman A. Bakar 38, dari Kampung Semadong, di sini adalah salah seorang daripadanya apabila disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia 19 tahun lagi sekali gus menyebabkan pemuda berkenaan hilang keyakinan diri.

Rutin harian Azman atau lebih mesra dipanggil Man tidak seperti orang lain apabila dia terpaksa mencuci luka di kaki kirinya itu setiap hari selepas menjalani pembedahan membuang kira-kira tujuh kilogram isi di kakinya pada 2011.

Berat rasanya penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh anak sulung daripada dua beradik itu dan lebih membebankannya apabila dia perlu membeli sendiri kelengkapan mencuci kaki itu yang dianggarkan mencecah RM1,000 sebulan.

Hal demikian kerana pihak hospital di Kangar kini sudah berhenti menyediakan kelengkapan berkenaan sejak dua bulan lalu.

Disebabkan kekangan kewangan, Man yang hanya bergantung harap dengan bantuan bulanan sebanyak RM400 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menghadkan rutin mencuci kaki daripada setiap hari kepada seminggu atau dua minggu sekali.

Kata Man, sebelum ini dia ada menerima ubat-ubatan untuk mencuci kakinya di rumah secara percuma dari hospital Kangar.

Katanya, namun selepas pihak hospital memberhentikan memberi ubat-ubatan itu, dia mengakui agak sukar untuk membelinya.

Justeru, tiada apa yang diharapkannya pada saat ini melainkan agar pihak hospital membantunya menyediakan ubat-ubatan itu seperti dahulu.

"Jika dahulu, saya mempunyai pendapatan sendiri dengan mengasuh kanak-kanak, namun sekarang sudah tidak lagi. Saya hanya berharap bantuan bulanan JKM. Bantuan itu tidak cukup untuk saya membeli keperluan mencuci kaki.

"Selepas menghidap penyakit ini, saya banyak menghabiskan masa di rumah bersama ayah. Rutin harian saya hanya mencuci luka di kaki. Selepas pihak hospital tidak lagi membekalkan kelengkapan, saya terpaksa membiarkannya sehingga seminggu atau dua minggu sebelum kembali mencuci luka dan membalut kaki," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu lelaki berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 09010020639497 milik Azman.

Dengan bantuan tersebut, sekurang-kurangnya mampu meringankan beban Man membeli kelengkapan mencuci kakinya itu.- UTUSAN ONLINE