Bagi anak perempuannya, Nur Najihah Kadin, 17, pula, terpancar pada wajahnya kegembiraan apabila keinginannya untuk berpakaian serba baharu seperti rakan-rakan sebaya lain menjadi kenyataan.

Ini berikutan Kadin menerima kunjungan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau hari ini, yang tampil memberi bantuan kewangan bagi merealisasikan hasrat Nur Najihah membeli baju baharu.

Bantuan tersebut, sekurang-kurangnya dapatlah meringankan beban penoreh getah dari Kampung Katong itu untuk menyediakan kelengkapan sekolah anaknya.

Kadin ketika ditemui berkata, tiada kata-kata yang dapat diungkap bagi mengambarkan kegembiraannya selepas menerima bantuan tersebut yang disifatkan amat bermakna.

“Ahad ini, anak saya sudah mula sekolah dan bolehlah pakai baju baharu. Alhamdulilah akhirnya dapat juga dia (Nur Najihah) pakai pakaian serba baharu.

“Terima kasih kepada pihak yang tampil memberi bantuan termasuk Utusan Malaysia yang menyiarkan kisah saya,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan kesusahan Kadin yang tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah untuk anaknya yang bakal memulakan sesi persekolahan minggu depan.

Sementara itu, Nur Najihah berkata, dia bersyukur kerana dapat memakai seragam baharu memasuki sekolah nanti.

“Saya ingat tak dapat dah sebelum ini (baju sekolah baharu). Alhamdulilah ada juga pihak tampil membantu. Sekurang-kurangnya RM500 diperlukan pada sesi pendaftaran nanti. Bagi kami, jumlah itu sangat banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Arau, Shazwan Fahmi Badrul Sham berkata, dia mewakili Setiausaha Bersatu Bahagian Arau, Wan Saiful Wan Jan terpanggil untuk membantu keluarga tersebut.

“Hari ini, kita serahkan sedikit bantuan kewangan untuk beli baju sekolah dan keperluan makanan. Selepas ini, kita akan panjangkan perkara ini supaya keluarga ini mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Mungkin disebabkan sedikit masalah teknikal, keluarga ini terlepas pandang daripada menerima bantuan daripada JKM, BSH termasuk bantuan persekolahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE