Peningkatan itu dijangka berlaku pada 9, 10, 12, 16, 17 dan 18 Ogos ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Ahad dan Isnin ini.

Sehubungan itu, pihak syarikat LPT2 Sdn. Bhd., memberi jaminan pihaknya sudah membuat persediaan dalam segala aspek bagi menghadapi peningkatan jumlah kenderaan pada tarikh tersebut.

Menurut Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn., Bhd., Roszi Ibrahim, pelbagai persiapan dilakukan bagi membantu para pengguna lebuh raya berkenaan menikmati perjalanan dengan selamat, lancar serta selesa.

"Bagi melancarkan pergerakan kenderaan di plaza-plaza tol dan membantu pelanggan, pihak LPT2 akan tambah bilangan kakitangan sebanyak 4.2 peratus dan bilangan pasukan LPT2Ronda juga akan ditambah sebanyak 33 peratus untuk mengadakan rondaan dan beri bantuan kepada pelanggan yang terkandas di LPT.

"Kami juga mendapat kerjasama daripada pihak polis, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk mengadakan rondaan dan pemantauan di laluan berkenaan di samping menggunakan bantuan anggota Rela bagi membantu pengurusan trafik di plaza tol terpilih," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, bagi merancang perjalanan, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi twitter LPT2Trafik serta kira-kira 20 papan tanda elektronik di sepanjang laluan berkenaan.

Selain itu, katanya, para pemandu yang menuju ke Kota Bharu dan destinasi lain yang berdekatan juga diminta menggunakan LPT2 kerana ia menyediakan laluan dua lorong setiap hala selain pelbagai kemudahan lebih selesa seperti tempat Rehat dan Rawat (R&R), stesen mintak, surau, tandas awam, mesin tambah nilai Touch n Go dan sebagainya.

"Turut disediakan perkhidmatan bantuan kecemasan LPT2Ronda selain kolaborasi syarikat ini dengan agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti polis, JPJ, Bomba dan lain-lain," ujarnya. - UTUSAN ONLINE