Ahmad Samsuri berkata, langkah itu bagi memastikan akhbar dapat terus memainkan peranan dalam masyarakat memandangkan masih ada kelompok yang memerlukan bahan bercetak berkenaan.

"Bukan semua masyarakat ada akses kepada media sosial, kalangan yang duduk di kedai kopi misalnya mereka perlukan akhbar.

"Seperti kita tahu, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) telah memberi sumbangan tertentu dalam negara kita sejak penubuhannya di peringkat awal dahulu dan tentunya ketiadaan akhbar ini sedikit sebanyak akan membawa kepada pelbagai tafsiran, namun dengan maklumat terbaharu operasi syarikat diteruskan maka secara tidak langsung melegakan ramai," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penerbitan dua akhbar milik Utusan Melayu (Malaysia) Berhad iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! yang akan terus beroperasi sekalipun syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Menurut Ahmad Samsuri, tragedi yang menimpa syarikat akhbar Utusan Melayu mungkin boleh dialami syarikat lain di masa hadapan berikutan cabaran media sosial masa kini.

"Kesan jika berlaku penutupan penerbitan akhbar Utusan Malaysia bukan hanya menjejaskan kakitangan termasuk wartawan malah, yang lebih besar kita akan hilang satu suara yang memberi laporan, gambaran dan pemberitaan tertentu ke dalam masyarakat kita," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, akhbar Utusan Malaysia merupakan wadah bacaan rakyat bagi mendapatkan informasi dalam dan luar negara sejak 80 tahun lalu.

"Oleh itu marilah kita pakat tolong akhbar yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara termasuk memperjuangkan kemerdekaan," katanya dalam catatan di laman Facebook. - UTUSAN ONLINE