Ketua Petronas Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Rokiah Sulaiman berkata, projek tersebut merupakan yang pertama bagi infrastruktur pendidikan di Sabah bernilai RM4 juta telah berjalan dengan baik.

"Kemudahan kami sediakan adalah asrama lelaki dan perempuan yang dapat menampung 120 pelajar, dewan makan, surau, bilik sakit dan warden serta sistem telaga tiub.

"Selain itu, Petronas juga sedang membina MRSM Ranau yang akan menempatkan sekitar 400 pelajar dan dijangka siap pada 2021," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek di sini semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Balambangan Banggi, Salmat Abi memberitahu, sekolahnya berada dalam kategori sekolah kurang murid (SKM) dengan mempunyai 78 murid.

"Bagaimanapun, terdapat cabaran dihadapi murid-murid di sini khususnya dari Kampung Batu Sireh yang terpaksa menaiki bot sekitar 10 ke 20 minit ke sekolah dan jika cuaca buruk atau ombak bergelora mereka tidak dapat hadir.

"Bagi murid dari Kampung Kok Simpul yang jaraknya lebih kurang lima kilometer (km) dari sekolah pula perlu berjalan kaki meredah hutan pada awal pagi," ujarnya.

Tambahnya, terdapat ancaman binatang buas dengan laluan sukar dan becak apatah lagi ketika musim monsun.

"Sudah pasti cabaran itu akan menjejaskan peratus kehadiran murid menyebabkan tak memuaskan sedikit sekitar 60 ke 70 peratus," jelasnya.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Sumber Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dalam satu kenyataan memberitahu, sekolah itu akan turut menerima bantuan kewangan tambahan daripada Yayasan Petronas membantu menyediakan perabot dan kelengkapan asrama bagi menyediakan suasana pembelajaran kondusif.

Jelasnya, pendidikan adalah alat yang paling penting dalam membantu memperbaiki kualiti kehidupan manusia. - UTUSAN ONLINE