Seramai 13 pekerja Kerry Ingredients (M) Sdn. Bhd. Cawangan Plentong dan Das Abdul Global Sdn. Bhd (DAG) jelas menghidupkan suasana di Wad Kanser Kanak-Kanak HSI.

Kanak-kanak tersebut terdiri daripada pelbagai bangsa yang dirawat di wad tersebut gembira walaupun sedang menderita dan terpaksa bertarung nyawa melawan penyakit kronik ketika ini.

Lawatan pihak syarikat itu menerusi Sport Welfare Recreation Club (SWRC) Kerry Plentong jelas membuatkan pesakit cilik berkenaan lupa akan kesakitan yang sedang dihadapinya.

Program itu yang mendapat kerjasama DAG merupakan aktiviti tahunan anjuran Kelab SWRC Kerry Plentong bagi membantu meringankan penderitaan pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga.

Pengerusi Kelab SWRC Kerry Plentong, Mohamed Norazam Mokhtar berharap, lawatan itu dapat meningkatkan kesedaran kemanusiaan khususnya memberi pengetahuan serta pendedahan tentang penyakit kanser dan cara penyaluran bantuan kepada masyarakat amnya.

"Syarikat amat mengambil berat dalam memastikan sumbangan serta keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di HSI.

"Kerjasama kedua-dua syarikat berjaya menghulurkan bantuan 50 biji bantal tajaan DAG dan dua karton susu Pediasure tajaan Kerry Plentong yang diharap memberi keceriaan dan meringan bebanan pesakit yang amat memerlukan bantuan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Diharapkan tajaan itu katanya, dapat mengembalikan keceriaan serta memberi lebih keselesaan kepada pesakit yang lama berada di wad sekali gus membantu pihak hospital untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat amnya. - UTUSAN ONLINE