Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, daripada jumlah itu, tujuh kawasan berada dalam Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) diikuti lima kawasan masing-masing dalam Daerah Kerian dan Kinta.

Beliau berkata, Daerah Manjung dan Batang Padang pula masing-masing mencatatkan tiga kawasan diikuti oleh Kuala Kangsar (2), Perak Tengah (2), Hulu Perak (1), Kampar (1) dan Hilir Perak (1).

“Tahun ini kerajaan memberikan tumpuan utama kepada pendidikan pencegahan dan kita sedar bahawa ini merupakan tanggungjawab komuniti bersama.

“Sehubungan itu, bersempena Hari Antidadah Sedunia yang bakal disambut pada 26 Jun, kerajaan negeri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan program jelajah antidadah peringkat sekolah di daerah Manjung, Taiping dan Ipoh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

May Ing berkata, jelajah berkenaan yang bermula 19 hingga 28 Jun ini akan melibatkan 18 buah sekolah Cina, justeru dijangka bakal memanfaatkan 6,000 orang pelajar.

Beliau berkata, bagi menjayakan program tersebut, kerajaan negeri melalui AADK akan bekerjasama dengan Persatuan Belia Kristian Malaysia (MYCA) dan Charis Youth Centre (CYC).

“Pelbagai bentuk persembahan akan dijalankan sepanjang program jelajah ini berlangsung termasuk tarian, drama dan komik bagi menarik perhatian golongan muda yang masih bersekolah.

“Program ini diadakan di sekolah Cina kerana persembahan itu nanti akan dipersembahkan dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Bajet 2019 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM750,000 bagi menyokong program-program antidadah yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan, NGO serta komuniti setempat. - UTUSAN ONLINE