Program sehari itu turut mendapat kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Melaka, Pejabat Kesihatan daerah dan Hospital Alor Gajah untuk kepentingan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di Puspen.

Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata, program ini melibatkan perkhidmatan rawatan pemulihan dalam usaha memulihkan pelatih yang menghadapi permasalahan dadah.

"Ia juga diharap dapat memberi manfaat nilai tambah pengetahuan, sesi bimbingan dan kaunseling kepada pelatih selain rasa dipeduli dalam usaha mendidik dan memerangi penyalahgunaan seterusnya membawa mereka kembali kepada masyarakat dan bersedia bersama masyarakat apabila keluar nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Yang turut hadir, Penyelaras Parlimen Alor Gajah, Nazri Abu Kasim; Timbalan Pengarah Puspen, Norazlin Harun; Ketua Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd. Dziehan Mustapa dan Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah, Dr. Hazlinda Ahmad.

Mengulas lanjut Azlin berkata, objektif ziarah ini selain bermesra dan bertanya khabar ia turut mengeratkan silaturahim dengan Semangat Kekitaan, Kebersamaan dan Perpaduan selain mengukuhkan erti kasih sayang untuk saling melengkapi kehidupan ini dalam aman dan harmoni.

Selain itu kata beliau, ia juga dapat meningkatkan kesedaran, menyediakan pelatih dengan maklumat yang berkaitan kesihatan dan pelbagai isu melibatkan hal ehwal kesihatan itu sendiri.

"Turut serta ialah kakitangan profesional dan sokongan dengan jumlah seramai 20 orang dalam aktiviti seperti pameran, kaunseling dan ceramah 'Sihat dan Bebas Tanpa Asap Rokok', 'Kenali Ubat Anda', 'Gigi Sihat, Saya Sayang Gigi'.

"Duta Kenali Ubat Anda dan Ikon Gigi, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Kementerian Kesihatan turut serta membantu memberi khidmat nasihat dan kaunseling di hari program," jelas beliau.

Menurut Azlin, program itu turut disertai pelatih lelaki dan wanita Puspen, pelanggan Klinik Cure & Care Tampin, Melaka seramai lebih kurang 143 orang serta kakitangan pengurusan dan sokongan. - UTUSAN ONLINE